Monday, March 2, 2009

Tugasan: Mengarang Karangan
Tarikh: 2 Mac 2009

Walaupun kipas yang berputar dengan ligatnya menghembus angin ke seluruh bilik darjah, keadaan bilik itu amatlah panas dan terang. Cahaya matahari yang menyinari bilik itu menyebabkan keadaan di dalam bilik itu lebih panas. Titisan peluh mula menitis di dahiku. Perlahan-lahan aku mengesat peluhku lalu melihat sekelilingku. Kawan-kawanku khusyuk menyelesaikan kertas ujian yang padaku, amat sukar. Aku meneruskan kerjaku sambil menggaru-garu dahiku. Bukan kerana dahiku gatal, tetapi kerana tekanan menjawab soalan yang sukar untukku jawab.

Sekali lagi aku memandang sekitaranku. Aku terpandang ke arah Maria, kawan baikku. Dia kelihatan tenang menyelesaikan kertas ujian. Agus, yang sedang duduk bersebelahan Maria, juga sepertiku, memerhatikan sekelilingnya. Sekian beberapa saat aku memerhatikan Agus, aku mendapati setiap kali selepas dia melihat ke arah Maria, dia akan menulis jawapannya ke atas kertas ujian tersebut. Hatiku mula berasa tidak senang dengan kelakuan Agus yang semakin mencurigakanku. Pelbagai tanggapan mengenai kelakuan Agus mula terpancar di kotak fikiranku.

Aku memerhatikan gerakan mata Agus dengan teliti. Selang beberapa saat kemudian, aku mendapati Agus bukan melihat Maria, malahan,melihat ke arah kertas ujiannya. Perasaan marah mula meluap-luap di hatiku. Aku tidak sangka, semalas-malas Agus, sanggup dia meniru apabila menduduki ujian. Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Aku takut keputusanku akan menimbulkan pdah yang tidak diingini. Aku tidak dapat memeberi sepenuh perhatian terhadap ujian itu.

Perasaan berkecamuk sekali lagi melanda hati kecilku apabila memikirkan kawan baikku ditiru Agus. Aku sedar, ia tidak adil kepada semua pelajar terutama sekali Maria. Tanpa memikirkannya lagi, aku mengangkat tanganku agar guru yang berada di dalam bilik itu dapat melihatku. Cikgu Anis, menuju ke arahku dengan langkahnya yang mantap dan pantas. Aku memberitahunya tentang kelakuaan Agus dan dia terus ke arah Agus. Memang betul tanggapanku. Agus selama ini sedang meniru kertas ujian Maria. Hatiku lega selepas cikgu mengarahkan Agus keluar dari bilik darjah.

Ujian tersebut diteruskan dan aku dapat memberikan sepenuh perhatian terhadap ketas ujian tersebut. Beberapa hari kemudian, kami diberitahu bahawa Agus akan didenda dan tindakan disiplin akan diambil. Sekali lagi, aku berasa lega Agus didenda kerana kelakuannya yang salah itu.