Saturday, May 31, 2008

Tugasan cuti sekolah: Mengarang
Tajuk karangan: Peristiwa Yang Tidak Dapat Saya Lupakan


Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa seringkali menyapa wajahku. Aku sedang bersiar-siar di taman seorangan tanpa teman. Suasana yang selesa dan sunyi membuatku imbas kembali suatu peristiwa yang tidak dapat aku lupakan. Kerna peristiwa inilah yang membuatku terduduk di kerusi roda buat seumur hidupku. Peristiwa yang hampir sekali meragut jiwaku berlaku dua tahun yang lalu.

Pada ketika itu, aku seorang yang sombong, yang sering menghina orang sama ada rupanya ataupun wataknya. Aku tidak kisah dengan apa yang hendak dikatakan oleh orang lain lalu aku buat dan cakap ikut kehendakku. Aku pernah menegur seorang pelajar perempuan di sekolahku,“Eh, Sofia! Kau ini tidak sedar diri! Sudahlah badan kau gemuk tetapi masih hendak bersekolah di sini!”

Sofia amat sedih dengan kata-kataku yang kasar itu. Aku tidak menghiraukan perasaannya lalu terus menghinanya. Pernah juga aku menghina seorang pelajar cacat di sekolahku, “ Amir, padan muka kau! Maklumlah, dah nasib kau tidak mempunyai kaki yang sempurna!” tegurku sambil rakan-rakanku yang lain mengetawakan Amir.

Sifatku yang suka menghina orang berpanjangan hinggalah suatu petang yang teramat malang. Aku dan sekumpulan rakanku yang lain bercadang untuk lepak di pusat membeli-belah berdekatan dengan sekolahku. Oleh kerana pusat itu di hadapan sekolahku, aku mengambil keputusan untuk menyemberang jalan tanpa menghiraukan kenderaan yang lalu lalang.

“Siti, baik kami gunakan lampu trafik. Bahaya jikalau kami menyemberang jalan!” pekik salah seorang kawanku, Ana.

Rakan-rakanku yang lain, termasuk Ana, membantah cadanganku lalu mereka menggunakan lampu trafik. Aku, seorang yang kepala batu, menyemberangi jalan raya itu. Alangkah malangnya nasibku ini apabila sebuah kereta meluru ke arahku secara tiba-tiba. Aku terkejut lalu tidak dapat berfikir apa-apa. Kereta yang dipandu oleh seorang wanita itu, bergerak dengan sangat laju. Aku tidak dapat mengelak dari kereta itu lalu ia melanggarku. Aku terdengar pekikan rakan-rakanku. Aku dapat merasakan kesakitannya pada seluruh badanku. Titisan darah mula mengalir dari anggota badanku yang tercedera. Aku tidak dapat sedarkan diri lalu mataku diselubungi warna hitam.

Apabila aku sedar, aku mendapati tubuhku terlantar di atas katil yang agak empuk . “Siti, ibu di sini, nak,” suara ibuku bermain di telingaku. Aku melihat di sekelilingku dan mendapati aku berada hospital dan anggota keluargaku di sisiku. Aku cuba menggoyangkan kakiku tetapi gagal. Ia seakan-akan sebal dan tiada darah yang mengalir.

“Ibu, kaki Siti tidak boleh goyang!” kataku dengan rasa panik .

“Sabar, nak. Doktor kata ini sementara sahaja,” kata ibuku sambil air matanya mengalir di pipinya yang gebu.

Aku berasa resah dan hiba. Aku tidak dapat bayangkan bagaimana aku harus teruskan hidupku ini. Aku menyesal tidak mendengar nasihat kawan-kawanku. Semenjak peristiwa ini, aku malu untuk bersemuka dengan orang-orang yang telah aku hina.

Kini, aku hanya dapat duduk dan tidak berdiri buat seumur hidupku. Aku pasti tidak dapat melupakan peristiwa hitam ini.

Dikarang oleh: Siti Suhailah Suhaimi

No comments: